KOTA KINABALU: Tuduhan yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, dengan dakwaan membayar ‘cyber troopers’ disifatkan sebagai fitnah jahat, tidak berasas serta bermotifkan cubaan mencemarkan kredibiliti kepimpinan negeri.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata dakwaan tersebut merupakan satu lagi cubaan terancang untuk mengelirukan rakyat dan mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri.
“Tuduhan ini jelas berniat jahat, tidak bersandarkan fakta dan hanya bertujuan mengeruhkan suasana politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Jumaat.
Menurut beliau, Ketua Menteri kekal memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat, selain tidak pernah terlibat dalam amalan politik sempit atau serangan peribadi terhadap mana-mana pihak.
Dalam perkembangan sama, Azrul yang juga Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah menafikan sekeras-kerasnya kesahihan tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular, yang cuba mengaitkan individu tertentu dengan gerakan melemahkan parti politik.
Beliau menegaskan penularan bahan tersebut merupakan satu bentuk manipulasi tidak bertanggungjawab yang bertujuan menghasut, mengelirukan serta menjejaskan keyakinan rakyat.
“Ini bukan sekadar spekulasi, sebaliknya penyebaran fitnah yang disengajakan. Tindakan seperti ini tidak boleh dipandang ringan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Azrul menggesa semua pihak agar menghentikan segera penyebaran maklumat palsu serta mengamalkan sikap lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.
“Tumpuan harus diberikan kepada usaha membangunkan Sabah menjadi negeri yang lebih maju, stabil dan sejahtera, bukannya menyemarakkan politik kebencian yang merugikan semua pihak,” katanya.

