KOTA KINABALU:Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebagai usaha memperkukuh pembangunan bola sepak negeri serta meningkatkan prestasi pasukan Sabah di peringkat nasional.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pejabat SAFA, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Khidmat Korporat CIS, Ezrie Ag Raini, serta Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.
Japlin berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan CIS dalam menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak di Sabah.
Menurutnya, sokongan itu penting bagi memperkukuh program pembangunan bakat serta meningkatkan prestasi pasukan negeri.
“CIS percaya bola sepak mampu menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan generasi muda.
“Justeru, sokongan seperti ini wajar diteruskan demi masa depan sukan negeri,” katanya.
Sementara itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan atas sumbangan berkenaan yang disifatkan sebagai suntikan penting dari segi kewangan dan moral dalam usaha memperkasa arena bola sepak Sabah.
Beliau berkata, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkukuh program pembangunan pemain serta meningkatkan daya saing pasukan Sabah dalam pertandingan akan datang. Dalam masa sama, sumbangan itu mencerminkan komitmen tinggi CIS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini.

