KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Borneo Bloc tidak bertujuan memperkukuh dominasi politik Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan, sebaliknya bagi memastikan keseimbangan suara kedua-dua wilayah dalam kerangka Malaysia.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan itu merupakan langkah politik yang sah bagi menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo di Parlimen.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim yang mendakwa Sabah dan Sarawak menggunakan cadangan Borneo Bloc bagi memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan.
Menurut Nizam, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah perkara biasa dalam sistem persekutuan yang sihat dan demokratik.
“Cadangan ini bukan soal dominasi politik, sebaliknya usaha memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan agar suara wilayah Borneo dapat diselaraskan dengan lebih berkesan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 adalah berteraskan prinsip perkongsian wilayah yang dipersetujui melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, beberapa perkara penting seperti kuasa imigresen, hasil petroleum serta tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan merupakan komitmen asal yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.
Dalam masa sama, Nizam berkata cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih seimbang, mengambil kira keluasan wilayah serta cabaran pembangunan yang dihadapi di Borneo. Katanya, langkah tersebut akan membantu memastikan suara rakyat Sabah dan Sarawak lebih efektif dalam proses pembuatan dasar di peringkat Persekutuan.
–TAMAT

