KOTA KINABALU:Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah akan terus memperkukuh perlindungan pengguna menerusi kerjasama rentas agensi bagi menangani pelbagai cabaran semasa termasuk isu kos sara hidup, keselamatan makanan, transaksi digital serta ancaman penipuan dalam talian.
Pengerusi Bersama GPN Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, pendekatan bersepadu itu amat penting memandangkan isu kepenggunaan masa kini melibatkan pelbagai sektor dan memerlukan tindakan bersama antara kementerian, agensi penguatkuasaan, badan pengguna serta pihak berkepentingan.
Menurut beliau, Mesyuarat GPN Sabah Bilangan 1/2026 yang berlangsung di sini pada Isnin menjadi platform penting untuk menyelaras pandangan, berkongsi maklumat dan memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha melindungi kepentingan pengguna.
“Cabaran kepenggunaan hari ini tidak lagi bersifat tunggal. Ia merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, keselamatan makanan dan keselamatan digital yang memerlukan pendekatan menyeluruh serta kerjasama erat antara semua pihak.
“Melalui kerjasama rentas agensi, tindakan yang lebih berkesan dan tersusun dapat dilaksanakan demi memastikan hak serta kebajikan pengguna terus terpelihara,” katanya ketika mempengerusikan bersama mesyuarat berkenaan.
Julita berkata, perkembangan teknologi dan peningkatan penggunaan platform digital telah membuka pelbagai peluang kepada pengguna, namun pada masa sama turut meningkatkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi serta penyebaran maklumat tidak sahih.
“Scammer bergerak pantas. Justeru, kesedaran dan tindakan semua pihak juga perlu bergerak lebih pantas bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha memperkukuh literasi digital dan meningkatkan kesedaran pengguna akan terus menjadi antara agenda utama yang digerakkan secara bersepadu oleh agensi berkaitan.
Selain itu, Julita berkata isu kos sara hidup dan keselamatan makanan akan terus diberikan perhatian melalui kerjasama strategik antara agensi bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pengguna sentiasa terpelihara.
Beliau menegaskan GPN Sabah akan terus berperanan sebagai platform penyelarasan yang memperkukuh tindakan bersama antara agensi kerajaan dan rakan strategik dalam menangani isu-isu kepenggunaan secara lebih berkesan.
“Pengguna yang berilmu ialah pengguna yang berdaya. Inilah asas kepada perlindungan pengguna yang lebih mampan dan berkesan,” katanya.
Julita berharap kerjasama yang terus diperkasakan melalui GPN Sabah dapat menyumbang kepada usaha melindungi hak pengguna serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Turut hadir pada mesyuarat itu Pengerusi GPN Sabah, Shahril Nizam Shahidin; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Maria Chong; Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Fredeck Kantod; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Ramle Kasin; Pengarah Jabatan Kimia Sabah, Harun Ahmad; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah, Ratnawaty Talib; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Cleopatra Asing; Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Bagah; Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara Sabah, Kevin Loh Kian Min; serta Setiausaha Yayasan Pengguna Negara Malaysia Cawangan Sabah, Liza Din.

