KOTA KINABALU:Budaya kepenggunaan yang bijak, beretika dan bertanggungjawab perlu terus diperkasakan bagi membantu rakyat mengurus kos sara hidup serta mewujudkan ekosistem perdagangan yang adil, telus dan berintegriti.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, berkata pengguna masa kini perlu lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab mereka dengan mengamalkan budaya membandingkan harga, membuat pilihan yang tepat serta mengelakkan pembaziran.
Beliau berkata, usaha memperkukuh budaya kepenggunaan memerlukan kerjasama semua pihak — kerajaan, peniaga dan pengguna — bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Program seperti Fiesta Kepenggunaan menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan secara lebih dekat kepada rakyat.
“Ia juga membuka ruang interaksi secara langsung antara masyarakat dengan agensi kerajaan, sekali gus memperkukuh usaha advokasi kepenggunaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, pada Majlis Penutupan Fiesta Kepenggunaan KPDN Sabah 2026 di One Borneo Shopping Mall, di sini, Sabtu.
Turut hadir Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin.
Sepanjang fiesta berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pertandingan Eksplorasi Celik Pengguna (X-CAPE), pertandingan mewarna kanak-kanak serta Battle of the Bands (BOTB) yang disertai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Program turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan, penyerahan Ihsan Food Bank (i-FB) kepada UiTM Cawangan Sabah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya dan Politeknik Kota Kinabalu, selain sesi lawatan ke reruai pameran yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik.
Pengunjung juga berpeluang menyertai Kuiz Kahoot Fiesta, menikmati persembahan Busska Busker serta menyaksikan penyampaian cenderamata kepada peserta.
Mohammad Ghazali berkata, pendekatan santai dan interaktif seperti itu mampu menyampaikan mesej kepenggunaan dengan lebih berkesan kepada semua lapisan masyarakat, selain mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPDN Sabah, agensi kerajaan, rakan strategik, pempamer dan semua pihak yang menjayakan Fiesta Kepenggunaan KPDN Sabah 2026.
Beliau berharap ilmu serta maklumat yang diperoleh sepanjang program itu dapat dimanfaatkan dan dikongsi bersama keluarga serta masyarakat bagi membudayakan amalan kepenggunaan yang lebih bijak, berhemah dan bertanggungjawab.

