BONGAWAN:Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) merangkap Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Anifah Aman, menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah membuktikan keprihatinan dan komitmen tinggi terhadap kemajuan serta kesejahteraan rakyat Sabah.
Dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, Anifah berkata perkara itu dizahirkan semasa Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat DUN N.30 Bongawan yang diadakan di Dewan Masyarakat Bongawan, pada petang Isnin.
“Saya telah mengingatkan rakyat bahawa kerajaan GRS pimpinan YAB Datuk Seri Hajiji merupakan kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap seluruh rakyat Sabah.
“Kerajaan ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi juga kepada pembangunan modal insan anak-anak Sabah melalui pelbagai inisiatif seperti program Rumah Mesra SMJ,” katanya.
Beliau berkata, program di bawah Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) telah menunjukkan hasil yang ketara dan terbukti memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di pelbagai peringkat.
“GRS adalah kerajaan yang bekerja untuk rakyat, bukan sekadar menabur janji. Program seperti Rumah Mesra SMJ adalah bukti jelas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat,” ujarnya.
Anifah turut menyeru rakyat di kawasan DUN Bongawan agar terus menyokong kepimpinan kerajaan negeri dengan memberikan mandat kepada calon GRS pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 pada 29 November ini.
“Saya menyeru agar semua rakyat di DUN Bongawan memberikan sokongan mereka kepada kerajaan GRS dengan mengundi calon GRS agar lebih banyak manfaat dapat dinikmati bersama,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Ketua Menteri turut mengumumkan Tan Sri Anifah Aman sebagai calon GRS bagi kerusi DUN Bongawan, sekali gus mengukuhkan keyakinan gabungan itu untuk menawan semula kawasan berkenaan.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh YAB Datuk Seri Hajiji untuk menggalas tanggungjawab ini. InsyaAllah, kita akan memberikan satu kerusi DUN kepada GRS,” kata Anifah.
Anifah, yang juga bekas Menteri Luar Negeri Malaysia dan kini berkhidmat sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Sabah (Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing), menegaskan kesediaannya untuk membawa suara rakyat Bongawan ke pentas pembangunan negeri. “Saya yakin dengan semangat perpaduan dan kesetiaan rakyat Bongawan, kita akan terus maju bersama di bawah panji GRS demi Sabah yang stabil dan makmur,” katanya.
— TAMAT

