KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dimuktamadkan secara menyeluruh sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak terus terpelihara dalam kerangka Persekutuan.
Ahli Dewan Negara, Bobbey Suan berkata, selepas lima tahun isu berkenaan dibangkitkan secara konsisten di Parlimen dan Dewan Negara, sudah tiba masanya keputusan muktamad dicapai selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, MA63 merupakan asas pembentukan Malaysia yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam sebuah Persekutuan berdaulat.
“Sebarang perbezaan pandangan berkaitan MA63 hendaklah diselesaikan secara matang melalui rundingan institusi dan saluran perundangan.
“Kerajaan Persekutuan perlu terus bersikap terbuka, profesional serta konstruktif demi memastikan perpaduan negara kekal utuh,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara.
Mengulas isu petroleum, beliau berkata walaupun perkara itu tidak dinyatakan secara spesifik dalam teks MA63, ia berkait rapat dengan kerangka pembahagian kuasa dan hasil antara Persekutuan dan wilayah.
“Sabah dan Sarawak merupakan penyumbang utama kepada industri minyak dan gas negara. Tuntutan berkaitan perkara ini bukan ancaman kepada Persekutuan, sebaliknya tuntutan berasaskan hak yang wajar dirunding secara matang dan berkerangka,” katanya.
Beliau turut merujuk pendirian Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor yang menegaskan pelaksanaan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah perlu dilaksanakan selaras dengan Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Bobbey, tuntutan tersebut berlandaskan prinsip keadilan fiskal dan pembangunan saksama, khususnya ketika Sabah masih berdepan cabaran asas seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh integriti serta menangani ancaman keselamatan digital termasuk jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Katanya, ancaman keselamatan masa kini tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal, sebaliknya semakin serius di ruang digital melibatkan penyebaran maklumat palsu, manipulasi teknologi ‘deepfake’, ekstremisme serta jenayah siber.
Beliau menggesa kerajaan memperkukuh undang-undang berkaitan jenayah siber dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pelaku, termasuk mempertimbangkan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan.
Selain itu, beliau mencadangkan langkah proaktif seperti memperluas literasi digital dan kewangan hingga ke peringkat akar umbi serta mewujudkan pusat respons pantas bagi pembekuan segera akaun mencurigakan.
“Keselamatan digital hari ini adalah sebahagian daripada keselamatan negara. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa,” katanya.
Mengulas polemik cadangan pembukaan konsulat India di Sabah, beliau berkata perkara itu perlu dilihat secara rasional dan berasaskan fakta kerana ia merupakan amalan lazim dalam diplomasi antarabangsa bagi memudah cara urusan perdagangan, pelaburan dan kebajikan warganegara.
Pada masa sama, beliau berpandangan pembukaan konsulat Filipina juga wajar dipertimbangkan mengambil kira jumlah rakyat negara itu di Sabah serta isu dokumentasi dan sosial yang memerlukan penyelesaian rasmi melalui saluran kerajaan-ke-kerajaan.
Sehubungan itu, beliau memohon Menteri Luar Negeri menjelaskan secara terbuka rasional, skop fungsi serta implikasi pembukaan konsulat berkenaan bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat.
–TAMAT

