Blok Borneo perlu jadi suara bersatu pertahan hak Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Gagasan pembentukan Blok Borneo perlu dilihat sebagai satu kekuatan politik yang sah dan relevan dalam memastikan suara Sabah dan Sarawak terus diperkasa serta tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata sudah tiba masanya pemimpin dari kedua-dua wilayah di Borneo mengetepikan perbezaan politik dan bersatu di bawah semangat Blok Borneo demi mempertahankan hak serta kepentingan rakyat.

Menurut beliau, Sabah dan Sarawak bukan sekadar negeri biasa dalam Persekutuan, sebaliknya merupakan rakan pengasas kepada pembentukan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sehubungan itu, setiap dasar dan keputusan di peringkat Persekutuan wajar mengambil kira kedudukan serta hak-hak yang telah dipersetujui sejak awal pembentukan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakyat di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama merasakan masih wujud jurang pembangunan selain terdapat beberapa perkara berkaitan hak negeri yang belum dilaksanakan sepenuhnya.

Menurutnya, kesatuan melalui gagasan Blok Borneo mampu memperkukuh suara kedua-dua wilayah itu agar lebih berpengaruh dalam memperjuangkan keadilan pembangunan, keseimbangan wilayah serta pengiktirafan terhadap hak-hak yang termaktub dalam MA63.

“Dengan jumlah kerusi Parlimen yang signifikan dari Sabah dan Sarawak, Blok Borneo berpotensi menjadi faktor penting dalam menentukan keseimbangan politik negara.

“Keadaan ini sekali gus membolehkan kepentingan rakyat di wilayah Borneo sentiasa diberi perhatian dalam setiap keputusan besar di peringkat nasional,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa gagasan tersebut bukan sekadar agenda politik semata-mata, sebaliknya menyentuh soal maruah, hak serta masa depan rakyat di Bumi Borneo yang perlu dipelihara dan dipertahankan secara bersama. “Kesatuan suara melalui Blok Borneo adalah langkah strategik bagi memastikan Sabah dan Sarawak terus memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan negara,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles