Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Biro Penerangan Gagasan Rakyat diperkasa, perkukuh persiapan hadapi PRU

Nizam (tengah) bersama Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Senator Datuk Anna Bell Perian (kiri); Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, Barhul Sahibu (kanan); Ketua Penerangan Beliawanis Gagasan Rakyat , Norhayati Mohd Adnan (paling kanan), serta ahli jawatankuasa biro ketika mengulas usaha memperkasa Biro Penerangan Gagasan Rakyat menjelang PRU.

KOTA KINABALU:Biro Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan terus diperkasa sebagai jentera utama dalam memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat lebih tersusun, berkesan dan menyeluruh menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat , Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata peranan biro penerangan kini semakin kritikal dalam mendepani cabaran landskap politik semasa yang dipenuhi dengan pelbagai persepsi, maklumat tidak tepat serta propaganda pihak tertentu.

Menurut beliau, kesiapsiagaan jentera penerangan di semua peringkat perlu dipertingkatkan, bukan sahaja dari segi struktur organisasi, malah melibatkan penguasaan naratif, penggunaan media digital serta keupayaan berkomunikasi secara efektif dengan rakyat.

“Biro Penerangan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi menjadi benteng utama parti dalam mempertahankan dasar, menjelaskan isu serta menangkis fitnah.

“Kita mahu setiap lapisan kepimpinan dan ahli memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang sahih dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata latihan, program penerangan serta gerak kerja bersepadu akan terus dilaksanakan bagi memastikan jentera parti benar-benar bersedia menghadapi PRU.

Dalam pada itu, Nizam turut menekankan kepentingan kesatuan dan disiplin dalam kalangan ahli parti agar setiap mesej yang disampaikan selari dengan pendirian serta hala tuju kepimpinan.

“Persiapan menghadapi PRU bukan hanya soal jentera pilihan raya, tetapi juga melibatkan kekuatan naratif serta keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti.

“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan mesej yang jelas, konsisten dan berfokus kepada kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau yakin dengan kesiapsiagaan yang rapi serta komitmen tinggi daripada seluruh jentera penerangan, Gagasan Rakyat mampu menghadapi PRU dengan lebih tersusun dan berdaya saing. Turut hadir ialah Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat , Senator Datuk Anna Bell Perian; Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat , Barhul Sahibu; Ketua Penerangan Beliawanis Gagasan Rakyat, Norhayati Mohd Adnan, serta ahli jawatankuasa Biro Penerangan Parti.

Exit mobile version