Beri mandat baharu kepada GRS demi pembangunan lebih rancak di bawah SMJ 2.0

MENUMBOK:Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyeru rakyat supaya terus memberi mandat baharu kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri yang lebih pesat di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Beliau berkata, fasa pertama SMJ (2021–2025) telah membuahkan banyak kejayaan nyata yang kini dinikmati rakyat, dan kini tiba masanya untuk kerajaan negeri melangkah ke fasa kedua SMJ 2.0, dengan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat serta pembangunan luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Datuk Limus Jury, jemputan lain dan rakyat yang menghadiri Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025 – 2035, Penyerahan Kunci Rumah Sabah Maju Jaya, Perasmian Masjid Nur Ihsan Daerah Menumbok, Penyerahan Warta Tanah dan Penyampaian bantuan Yayasan Pendidikan Limus Jury di Tapak Tamu Pekan Menumbok, pada Khamis.

“Berikan kami mandat baharu, dan kami akan meneruskan pembangunan lebih rancak di bawah Hala Tuju SMJ 2.0.

Fasa pertama SMJ 1.0 berjaya dilaksanakan — tetapi lebih banyak akan dibuat demi kesinambungan kemajuan negeri,” katanya ketika merasmikan Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Menumbok 2025–2035 di Menumbok, semalam.

Majlis turut disertakan dengan penyerahan kunci Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), perasmian Masjid Nur Ihsan Daerah Menumbok, penyerahan warta tanah kediaman anak negeri, serta penyampaian bantuan Yayasan Limus Jury kepada pelajar setempat.

Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah pembangkang yang kononnya mendakwa kerajaan GRS gagal mentadbir negeri.

“Rugi jika rakyat tidak pilih kerajaan GRS sekali lagi. Kami bekerja untuk rakyat, bukan sekadar bercakap.

Mereka (pembangkang) pandai janji dan menabur fitnah, tetapi hasilnya tiada. Masalah air, jalan dan elektrik yang kita hadapi hari ini adalah warisan daripada mereka ketika memegang tampuk kuasa,” tegasnya.

Hajiji berkata, sejak mengambil alih pentadbiran lima tahun lalu, kerajaan GRS telah memulihkan kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kewangan negeri, dengan hasil negeri kini melebihi RM6 bilion pada 2024 — rekod tertinggi dalam sejarah Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan mesra pelabur kerajaan GRS telah berjaya menarik puluhan pelabur dalam dan luar negara, terutama dalam sektor pelancongan dan tenaga, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Apabila hasil negeri meningkat, kita kembalikan kepada rakyat. Tahun ini, 100,000 rakyat miskin menerima bantuan RM300 sebulan, manakala 70,000 lagi termasuk OKU dan warga emas menerima bantuan bulanan melalui Jabatan Kebajikan,” katanya.

Kerajaan juga memperkenalkan inisiatif Rumah Mesra SMJ, dengan 40 rumah telah diserahkan tahun ini dan 50 lagi akan dibina tahun depan, termasuk untuk golongan muda yang baru berkahwin.

Dalam sektor pendidikan, Hajiji berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun bagi biasiswa, bantuan pendaftaran pelajar baharu dan sokongan pendidikan lain.

Pelan Strategik Pembangunan Kuala Penyu dan Menumbok 2025–2035 disusun sejajar dengan agenda Hala Tuju SMJ bagi memastikan pembangunan seimbang di dua daerah itu.

“Dokumen ini penting sebagai panduan arah pembangunan yang inklusif, berfokus dan mampan supaya rakyat di kawasan ini turut menikmati kemajuan setara dengan daerah lain,” katanya.

Dalam majlis sama, Hajiji turut merasmikan Masjid Nur Ihsan Menumbok bernilai RM3.26 juta, siap pada Mac lalu melalui peruntukan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Beliau turut menyerahkan tiga warta tanah kediaman anak negeri di bawah Seksyen 78, masing-masing melibatkan Kampung Mansud (6.268 hektar), Kampung Purun (13.740 hektar) dan Kampung Tanjung Aru (24.339 hektar).

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Pendidikan Limus Jury, yang telah menyalurkan bantuan pendidikan kepada lebih 5,300 pelajar di Kuala Penyu dan Menumbok sejak ditubuhkan.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles