Belia Dumpiring & penduduk Patau sertai PBS, tanda keyakinan terhadap parti tempatan

RANAU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam mengalu-alukan penyertaan sekumpulan belia Kampung Dumpiring Bawah dan penduduk Kampung Patau yang memilih untuk menyertai PBS sebagai wadah perjuangan politik mereka.

Dr. Joachim yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kemasukan kumpulan belia dan penduduk kampung berkenaan mencerminkan keyakinan rakyat akar umbi terhadap perjuangan PBS sebagai parti tempatan yang konsisten mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah.

“Syabas dan tahniah kepada saudara Nazrul Mohamin yang mewakili belia Kampung Dumpiring serta saudara Jaikol Sagantoh mewakili penduduk Kampung Patau kerana membuat keputusan tepat memilih PBS sebagai wadah perjuangan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.  

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pemuda PBS, Khairol Kalimin serta seluruh ahli PBS Kundasang atas usaha berterusan menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti itu.

“Tahniah atas inisiatif dan semangat kamu semua. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini,” katanya lagi.

Menurut Dr. Joachim, penglibatan aktif belia amat penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan politik Sabah, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

PBS katanya, sentiasa membuka pintu kepada generasi muda untuk bersama membina masa depan negeri berasaskan kestabilan dan perpaduan rakyat.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles