RANAU:Usaha memperkukuh jaringan silaturahim dan semangat kepimpinan dalam kalangan belia diteruskan melalui penganjuran Program Coffee Break yang diadakan di Kampung Lingkudau, baru-baru ini.
Program anjuran komuniti belia dan beliawanis daerah Ranau dengan kerjasama Awan Coffee itu berlangsung dalam suasana santai namun sarat dengan nilai kepimpinan, kerjasama dan semangat kebersamaan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang meluangkan masa bersama golongan muda dalam suasana mesra dan terbuka.
Ketua Belia Paginatan, Adib Moin, yang mempengerusikan program berkenaan berkata, inisiatif itu bertujuan mewujudkan ruang wacana dua hala antara pemimpin dan golongan belia bagi menyampaikan aspirasi serta pandangan mereka secara langsung.
“Belia perlu didorong untuk berdisiplin, proaktif dan berperanan aktif dalam komuniti, sejajar dengan keperluan pembangunan daerah dan negeri,” katanya.
Dalam ucapannya, Masidi menyeru generasi muda di Ranau agar terus memupuk semangat perpaduan, bijak menghadapi cabaran semasa serta merebut peluang yang disediakan kerajaan dalam pelbagai sektor, khususnya pendidikan dan keusahawanan.
“Belia adalah aset penting negeri ini. Jika mereka bersatu dan bergerak dengan hala tuju yang jelas, masa depan Sabah akan lebih cerah,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin, yang sentiasa menunjukkan sokongan terhadap pelbagai inisiatif pembangunan belia di peringkat akar umbi.
Kerjasama strategik dengan Awan Coffee dilihat sebagai usaha menggabungkan elemen keusahawanan belia dengan platform pembangunan komuniti, sekali gus memupuk budaya dialog santai yang produktif.
Program Coffee Break bukan sekadar memperkukuh hubungan antara pemimpin dan belia, tetapi juga menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam mendekati suara anak muda di kawasan luar bandar.
Dengan pendekatan santai tetapi bermakna, program seperti ini wajar diteruskan agar wacana belia tidak hanya terhad kepada ruang rasmi, sebaliknya lebih terbuka, inklusif dan berimpak terhadap pembangunan modal insan di Sabah.
— TAMAT

