Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Belanjawan 2026: RM848 juta perkasa sistem bekalan air Sabah :Joachim

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah komited untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di seluruh negeri menerusi peruntukan besar berjumlah RM848 juta kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di bawah Belanjawan Sabah 2026.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, berkata peruntukan itu bertujuan melaksanakan program penyelesaian segera dan jangka pendek, selain projek pembangunan jangka panjang yang berimpak tinggi bagi meningkatkan kapasiti serta kecekapan sistem bekalan air negeri.

Menurutnya, antara fokus utama ialah pelaksanaan program penambahan kapasiti bekalan air, kerja-kerja penyelenggaraan loji rawatan air (LRA), serta peningkatan sistem mekanikal dan elektrikal di LRA dan rumah pam di bawah seliaan JANS.

“Kementerian juga memperkasa Program Building Facility Maintenance Work di loji rawatan air bagi memastikan operasi lebih stabil dan berkesan,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut komited mempertingkatkan perkhidmatan pembetungan dengan menyalurkan RM203.91 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri Sabah bagi kerja-kerja operasi, penyelenggaraan serta pengurusan alam sekitar.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah turut diperuntukkan RM600.69 juta bagi penyelenggaraan jalan negeri serta pembinaan dan naik taraf infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat.

— TAMAT

Exit mobile version