Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Belanjawan 2026 isyarat awal pelaksanaan SMJ 2.0

Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah

KOTA KINABALU: Pembentangan Belanjawan Sabah 2026 disifatkan sebagai isyarat awal dan landasan penting kepada pelaksanaan fasa baharu pembangunan negeri menerusi agenda Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), kata aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah.

Beliau berkata, belanjawan berkenaan mencerminkan kesinambungan hala tuju pentadbiran Kerajaan Perpaduan GRS Plus selepas melalui tempoh mencabar sebelum dan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17, yang akhirnya menyaksikan pembentukan kerajaan perpaduan demi menjamin kestabilan politik Sabah.

Menurutnya, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, wajar terus diberi kepercayaan untuk menerajui negeri bagi penggal ini memandangkan kejayaan beliau menghidupkan semula aspirasi Sabah Maju Jaya sebagai teras utama pentadbiran dan pembangunan negeri.

“Halatuju itu kini diteruskan secara lebih tersusun melalui SMJ 2.0, yang dirangka selari dengan keperluan semasa negeri serta harapan rakyat terhadap pembangunan yang lebih inklusif dan mampan,” katanya ketika mengulas Belanjawan Sabah 2026, pada Selasa di sini.

Aksyah berkata, tumpuan Belanjawan 2026 terhadap penyelesaian isu-isu asas infrastruktur adalah langkah tepat, khususnya dalam menangani keperluan mendesak rakyat di bandar dan luar bandar.

Beliau turut berpandangan bahawa kedudukan kewangan negeri yang semakin stabil ketika ini memberi ruang lebih luas kepada kerajaan untuk melaksanakan perancangan pembangunan secara menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi.

“Dengan pelaksanaan pemberian khas 40 peratus hasil negeri, saya yakin pelbagai isu infrastruktur yang sekian lama menjadi kekangan pembangunan Sabah dapat ditangani secara berperingkat dan lebih sistematik,” katanya.

Dalam masa sama, Aksyah menghormati pendirian Parti Warisan yang memilih untuk kekal sebagai pembangkang, sambil menegaskan peranan semak dan imbang adalah elemen penting dalam demokrasi bagi memastikan setiap dasar dan program kerajaan dilaksanakan secara telus serta berkesan.

Beliau berkata, meskipun Belanjawan 2026 memberi penekanan utama kepada pembangunan infrastruktur, kerajaan negeri turut menambah baik pelbagai program kesejahteraan rakyat agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, selaras dengan komitmen yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri ke-17.

“Secara keseluruhan, belanjawan ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam fasa pelaksanaan SMJ 2.0,” katanya.

Aksyah turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menjadi teras pemerintahan negeri bagi penggal ini.

“Kebijaksanaan rakyat Sabah dalam membuat pilihan adalah kunci kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negeri yang kita cintai,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version