KOTA KINABALU: Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, mengajak seluruh pegawai dan kakitangan yayasan itu agar bekerja sebagai satu pasukan serta meningkatkan komitmen dalam berkhidmat kepada rakyat bagi mengangkat martabat Yayasan Sabah sebagai institusi kebanggaan negeri.
Beliau berkata, setiap warga Yayasan Sabah perlu berfikir dan bertindak sebagai satu entiti yang bergerak dengan kekuatan bersama demi memastikan organisasi itu terus kukuh dan berdaya saing.
“Budaya kerja berprestasi tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi mesti menjadi teras dalam usaha memperkukuh sumber kewangan Kumpulan Yayasan Sabah.
“Anak-anak syarikat bukan sekadar entiti perniagaan, sebaliknya merupakan jentera penjana yang menjadi sandaran utama dalam merealisasikan visi dan misi Yayasan Sabah, termasuk pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan Yayasan Sabah, sempena hari pertama memulakan tugas bagi penggal keduanya sebagai Pengarah Yayasan Sabah di Menara Tun Mustapa, di sini, semalam.
Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang dilantik pertama kali sebagai Pengarah Yayasan Sabah pada November 2020 sebelum dilantik semula bagi meneruskan kepimpinan organisasi itu.

Turut memulakan tugas semalam ialah ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, yang dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), sayap perniagaan Yayasan Sabah.
Dalam ucapannya, Ghulam merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui Yayasan Sabah bagi penggal kedua.
“Pelantikan ini merupakan amanah besar yang sarat dengan tanggungjawab dan perlu digalas dengan penuh integriti, kebijaksanaan serta keinsafan.
“Yayasan Sabah bukan institusi biasa, sebaliknya sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) strategik negeri yang memiliki rangkaian anak syarikat dengan peranan besar dalam landskap pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, Yayasan Sabah merupakan nadi yang mengalirkan harapan rakyat, selari dengan hala tuju besar Sabah Maju Jaya yang digagaskan oleh Ketua Menteri.
Menurutnya, mengemudi sebuah organisasi sebesar Yayasan Sabah bukanlah tugas individu, sebaliknya memerlukan sokongan padu dan semangat kerja berpasukan daripada semua pihak.
“Ia menuntut kebersamaan, kebertanggungjawaban, kepercayaan serta iltizam kolektif dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Ghulam turut menyatakan keyakinannya terhadap gandingan kepimpinan bersama Jasnih yang disifatkan sebagai pemimpin muda berwibawa serta tokoh korporat berpengalaman luas.
“Saya yakin dengan gandingan kepimpinan yang mantap serta kerjasama erat semua pihak, kita mampu melonjakkan prestasi organisasi ke tahap yang lebih tinggi.
“Matlamat kita jelas, iaitu memenuhi aspirasi rakyat dan memastikan Yayasan Sabah sentiasa dekat di hati rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan komitmen Yayasan Sabah untuk mematuhi saranan Ketua Menteri supaya semua GLC negeri menghantar laporan prestasi setiap tiga bulan.
“Marilah kita jadikan komitmen ini sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) organisasi – untuk dipenuhi, dipatuhi dan dilaksanakan tanpa bertangguh,” katanya.
–TAMAT
