KOTA KINABALU:Bekas Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Abidin Madingkir, menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama 30 lagi bekas ahli STAR, menandakan satu lagi gelombang penyertaan ke dalam parti yang diterajui Ketua Menteri Sabah.
Beliau bersama rombongan menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, di Kota Kinabalu, semalam.
Turut mengemukakan permohonan menyertai parti pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor itu ialah bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Nordin Siman; bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hisyamuddin Harun; bekas Timbalan Ketua Bahagian STAR Paginatan, Jius Konsuling; serta bekas Ketua Pemuda STAR Paginatan, Hillary Salmeon.
Abidin berkata, lebih 3,000 penyokong STAR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan dijangka mengikut jejak langkahnya menyertai Gagasan Rakyat, yang menurutnya mengutamakan kepentingan Sabah dan rakyat negeri ini.
Beliau yakin Gagasan Rakyat merupakan wadah terbaik untuk memperkukuh perjuangan parti tempatan di Sabah.
Abidin adalah antara lima pemimpin kanan STAR yang mengambil keputusan bertentangan dengan Presiden parti, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, sebelum bertindak keluar daripada STAR selepas parti itu memutuskan meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah negeri, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November tahun lalu.
Beliau merupakan ADUN Paginatan selama dua penggal — pertama kali dipilih pada 2018 atas tiket Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebelum mempertahankan kerusi itu pada 2020 mewakili STAR.
Pada PRN Sabah tahun lalu, Abidin bertanding di bawah panji GRS namun tewas kepada calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Rusdin Riman, dengan majoriti 736 undi dalam pertandingan 10 penjuru.

