Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Bantuan kepada Sekolah Cina, Mubaligh dan Badan Bukan Islam Sabah meningkat kepada RM90 Juta

SUMBANGAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (kiri) menyampaikan replika cek bantuan kewangan kepada wakil sekolah menengah persendirian Cina di Sandakan, Datuk Au Kam Wah, pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah Persendirian Cina, Sekolah Mubaligh dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam 2026 bagi Zon Pantai Timur di Dewan SJKC Chi Hwa, Sandakan, Sabtu.

SANDAKAN:Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan pendidikan dan keharmonian masyarakat apabila meningkatkan bantuan kewangan kepada sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh serta badan-badan keagamaan bukan Islam di Sabah kepada RM90 juta tahun ini, berbanding RM43 juta pada 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata peningkatan lebih 100 peratus itu membuktikan iltizam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan semua komuniti di negeri ini menerima manfaat pembangunan secara adil dan saksama.

Beliau berkata, bantuan tahunan berkenaan meningkat secara konsisten daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021, kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta pada 2023, RM56.75 juta pada 2024, RM70 juta pada 2025, sebelum dinaikkan kepada RM90 juta pada tahun ini.

“Peningkatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus membantu institusi pendidikan dan badan-badan keagamaan bukan Islam yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, perpaduan serta kesejahteraan masyarakat di Sabah.

“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menyokong aktiviti pendidikan dan pembangunan institusi keagamaan di seluruh negeri,” katanya.

KOMITMEN GRS: Armizan menyampaikan replika cek bantuan kewangan kepada wakil institusi pendidikan di Sandakan, menandakan komitmen Kerajaan Negeri yang meningkatkan bantuan kepada sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam kepada RM90 juta tahun ini berbanding RM43 juta pada 2020.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah Persendirian Cina, Sekolah Mubaligh dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam 2026 bagi Zon Pantai Timur di Dewan SJKC Chi Hwa, Sandakan, Sabtu.

Hajiji berkata, peningkatan bantuan sejak 2020 turut mencerminkan kedudukan ekonomi negeri yang semakin kukuh, sekali gus membolehkan lebih banyak hasil pembangunan dikembalikan kepada rakyat.

“Inilah komitmen Kerajaan GRS dalam memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat perhatian yang adil serta menikmati hasil pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Bantuan ini adalah simbol keprihatinan kerajaan terhadap semua rakyat. Kita menghulurkan bantuan mengikut keperluan dan kemampuan demi memastikan Sabah terus maju, aman dan makmur,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan komitmen terhadap pembangunan modal insan, kerajaan negeri turut mencipta satu lagi sejarah apabila mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC), sekali gus membolehkan pemegang sijil berkenaan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

“Langkah ini mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian sistem pendidikan di Sabah. Apa yang paling penting ialah melahirkan modal insan yang berkualiti, berpengetahuan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.

Bagi Zon Pantai Timur, Hajiji berkata kerajaan negeri meluluskan RM9 juta bantuan, meningkat RM2 juta berbanding tahun lalu, melibatkan daerah Sandakan, Beluran, Tongod, Telupid, Paitan, Kinabatangan dan Sukau.

Daripada jumlah itu, RM4.41 juta diperuntukkan kepada 42 institusi pendidikan, terdiri daripada sebuah sekolah persendirian Cina, dua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sembilan sekolah rendah dan menengah mubaligh, 18 tadika serta dua sekolah swasta mubaligh.

Selain itu, RM4.58 juta disalurkan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam melibatkan 96 gereja daripada sembilan denominasi, 27 tokong dan dua kuil. Menurut Hajiji, sebanyak 46 permohonan baharu daripada gereja turut diluluskan pada tahun ini.

“Saya berharap bantuan yang disampaikan hari ini dapat dimanfaatkan bagi tujuan penyelenggaraan, penambahbaikan kemudahan, pembangunan pendidikan dan aktiviti kerohanian demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.

Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan terus berpegang kepada prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman dalam melaksanakan dasar serta menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Kita tidak melihat bangsa atau agama dalam menyalurkan bantuan, sebaliknya kita melihat keperluan rakyat dan masa depan Sabah yang perlu dibangunkan bersama.

“Semangat perpaduan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi identiti rakyat Sabah akan terus menjadi asas kepada kejayaan agenda Sabah Maju Jaya, sekali gus memastikan negeri ini kekal maju, makmur dan stabil,” katanya.

Exit mobile version