Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Banjir jejaskan SK Rampayan, kerajaan negeri sedia bantuan segera

Datuk James Ratib bersama Jordan Jude Ellron dan pegawai pendidikan meninjau kemudahan SK Rampayan yang rosak akibat banjir.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyalurkan bantuan segera kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Menggatal, yang terjejas akibat bencana banjir sejak dua hari lalu.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata bantuan disalurkan sebaik beliau melakukan lawatan kerja ke sekolah berkenaan bagi meninjau tahap kerosakan serta memastikan sesi persekolahan murid dapat diteruskan tanpa gangguan.

Lawatan itu turut disertai Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron; pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Johari Sabin; Guru Besar SK Rampayan, Ropinah Moktar; serta Ketua Kampung Rampayan, Agku Samsu Pg Mobin.

TERJEJAS: Keadaan bilik darjah SK Rampayan yang terjejas akibat banjir kilat.

Hasil pemantauan mendapati banjir menyebabkan kerosakan terhadap perabot murid, peralatan teknologi maklumat dan kemudahan bilik guru, sekali gus memerlukan tindakan segera sebelum sesi persekolahan dibuka.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah diarahkan membekalkan kira-kira 300 unit meja dan kerusi murid, menggantikan sekitar 10 unit komputer dan sebuah pencetak, selain menyediakan hampir 40 unit meja dan kerusi guru yang terjejas akibat banjir.

James berkata, semua bantuan dan kelengkapan perlu dihantar ke sekolah berkenaan sebelum pembukaan sesi persekolahan pada Isnin hadapan bagi memastikan keselesaan, keselamatan serta kelangsungan pembelajaran murid.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas tindakan pantas menyelaras bantuan, selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Pendidikan Daerah serta semua pihak yang terlibat membantu kerja pembersihan dan pemulihan sekolah.

LAWAT: James turun padang meninjau tahap kerosakan dan keadaan SK Rampayan.

“Selain SK Rampayan, beberapa sekolah lain di kawasan terjejas banjir turut dikenal pasti dan pihak kementerian akan terus memantau keadaan serta menyalurkan bantuan mengikut keperluan semasa.

“Syarikat berkaitan kerajaan di bawah kementerian juga akan digerakkan bagi menyalurkan bantuan segera sebagai sokongan tambahan kepada usaha pemulihan sekolah.

“Kerajaan Sabah kekal komited memastikan kebajikan murid dan guru terus terpelihara, khususnya ketika berdepan situasi bencana,” katanya.


–TAMAT

Exit mobile version