KOTA KINABALU:Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus mengadakan mesyuarat secara berkala di semua peringkat bagi memastikan jentera parti sentiasa tersusun, bersiap siaga dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU).
Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata mesyuarat yang diadakan secara konsisten bukan sekadar memenuhi keperluan organisasi, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh gerak kerja parti, menyelaras strategi serta membincangkan perkembangan politik dan isu-isu semasa.
Beliau berkata, landskap politik sentiasa berubah dan memerlukan setiap pemimpin serta anggota parti sentiasa peka, proaktif dan bersedia menghadapi sebarang cabaran.
“Politik adalah dinamik. Kita tidak boleh statik atau berada dalam zon selesa. Sebab itu Wanita GRS perlu sentiasa bermesyuarat, menyelaras gerak kerja dan bersedia menghadapi sebarang perubahan landskap politik.
“Setiap pemimpin dan ahli Wanita GRS mesti memahami denyut nadi rakyat serta bertindak pantas dalam mendepani setiap cabaran,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Bilik Manukan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Pada mesyuarat itu, Azizah turut mengumumkan penubuhan lima unit strategik Wanita GRS bagi memperkukuh fungsi organisasi dan memperkasakan pelaksanaan program yang lebih tersusun.
Beliau sendiri akan mengetuai Unit Dasar dan Polisi, manakala Datuk Surinam Sadikun dilantik sebagai Pengerusi Unit Ekonomi, Simi Linggom mengetuai Unit Kesihatan, Datin Atin Belynda Buntot menerajui Unit Penerangan dan Datin Wong Siow Lee @ Mary Wong mengetuai Unit Kebajikan.
Menurut Azizah, setiap unit akan memainkan peranan khusus dalam merancang serta melaksanakan program berimpak tinggi, di samping memperkukuh hubungan parti dengan rakyat melalui pendekatan yang lebih strategik dan berkesan.
Azizah berkata, kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kesediaan jenteranya untuk terus bekerja, turun padang dan mendampingi rakyat secara berterusan, bukan hanya apabila pilihan raya semakin hampir.
“Saya mahu setiap unit dan bahagian Wanita GRS bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, berdisiplin dan proaktif.
“Dengan kesatuan, komitmen serta gerak kerja yang tersusun, saya yakin Wanita GRS akan terus menjadi tonggak penting dalam memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah serta menyumbang kepada kemenangan parti pada pilihan raya akan datang,” katanya. Turut hadir Timbalan Ketua Wanita GRS, Datuk Redonah Bahanda, Puan Glenna Wong Kuen Yin, Norzian Dumit dan Simi Linggom; Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Bendahari Wanita GRS, Datin Wong Siow Lee @ Mary Wong; Penolong Bendahari, Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan, Datin Atin Belynda Buntot; Penolong Ketua Penerangan, Lailawati Ahmad Bahrom @ Julia ABT; serta Ahli Jawatankuasa Wanita GRS.

