KOTA KINABALU:Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengecam tindakan aktivis belia dan mahasiswa, Mohammad Norhamdin Nordin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan serta hantaran di media sosial yang melampaui batas kesopanan, selain mengabaikan kedudukan undang-undang berkaitan hak autonomi imigresen Sabah.
Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda berkata, kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan, hasutan atau tuduhan tanpa asas terhadap institusi kerajaan dan kepimpinan negeri.
“Kita menghormati amalan demokrasi serta kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan. Namun, hak tersebut bukan lesen untuk menghina, memfitnah atau menimbulkan persepsi yang tidak berasaskan fakta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas isu melibatkan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sarafi, yang tidak dibenarkan memasuki Sabah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Redonah berkata keputusan itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan kuasa autonomi imigresen Sabah yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mempunyai bidang kuasa untuk mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam, kepentingan negeri serta dasar pentadbiran sebelum membenarkan kemasukan seseorang ke Sabah, dan tidak berkewajipan mendedahkan alasan bagi setiap keputusan imigresen yang dibuat mengikut bidang kuasanya.
“Mana-mana pihak tidak seharusnya membuat spekulasi atau menggambarkan pelaksanaan kuasa autonomi imigresen Sabah sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang tanpa asas yang kukuh,” katanya.
Redonah yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, autonomi imigresen Sabah bukanlah satu keistimewaan politik, sebaliknya merupakan hak yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan menjadi antara syarat asas pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, kedudukan tersebut diiktiraf melalui Seksyen 64 Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 9(3) Perlembagaan Persekutuan, selain diperkukuhkan menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pihak Berkuasa Negeri Sabah lwn Sugumar Balakrishnan (2002).
Dalam pada itu, Redonah menegaskan bahawa mempertahankan hak autonomi imigresen Sabah tidak bermaksud menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman atau mengkritik kerajaan.
“Demokrasi yang matang menuntut keseimbangan antara hak dan tanggungjawab. Kebebasan bersuara hendaklah digunakan secara berhemah tanpa unsur fitnah, penghinaan, hasutan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.
Mengulas mengenai kepimpinan negeri, Redonah menolak sebarang cubaan membentuk persepsi negatif terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, melalui dakwaan yang tidak disokong fakta.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji telah melaksanakan pelbagai pembaharuan bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus, termasuk menerusi Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Pelan Integriti Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PIPANS), Governance, Integrity and Anti-Corruption (GIA), BIGoNS serta kerjasama berterusan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Redonah berkata, komitmen tersebut turut mendapat pengiktirafan apabila Sabah menerima anugerah Malaysia’s Most Outstanding State 2024 dalam IBR ASEAN Awards, yang antara lain mengambil kira aspek tadbir urus yang baik, integriti, kecekapan pentadbiran dan pembangunan mampan.
Pada masa sama, Redonah mengingatkan semua pihak supaya terus memelihara martabat institusi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah sebagai lambang perpaduan, kesinambungan dan kedaulatan negeri.
Beliau turut menggesa golongan belia, mahasiswa dan aktivis supaya mengamalkan budaya demokrasi yang matang dengan berpandukan fakta, menghormati Perlembagaan serta mengelakkan retorik yang boleh memecah-belahkan masyarakat. “Kebebasan bersuara bukan lesen untuk melanggar undang-undang. Demokrasi yang matang menuntut kebebasan yang disertai tanggungjawab,” katanya.

