Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Akta keselamatan digital perlu diwujudkan, IPT digesa perluas AI :Masiung

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah .

KOTA KINABALU: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan tiada pilihan selain menerima inovasi kecerdasan buatan (AI), namun negara perlu segera menggubal akta kawalan keselamatan akses digital bagi mengawal selia penggunaan teknologi berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata Malaysia kini berdepan kekurangan lebih 10,000 jurutera dan pakar AI tempatan, sekali gus menjadi cabaran besar kepada keperluan pembangunan masa hadapan negara.

Menurutnya, walaupun beberapa universiti tempatan telah mewujudkan fakulti dan program berkaitan AI, usaha itu perlu diperluaskan merentasi pelbagai bidang pengajian supaya lebih ramai anak kelahiran Sabah mampu menguasai teknologi baharu berkenaan.

“Institusi seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) berupaya mengintegrasikan elemen AI dalam kurikulum latihan sedia ada bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi pintar.

“Selain KTYS, pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga disaran mempertimbangkan penawaran modul AI sebagai sebahagian daripada latihan akademik dan kemahiran,” katanya.

Mengulas lanjut, Masiung menegaskan bahawa latihan dalam bidang AI tidak wajar tertumpu kepada aspek teknikal semata-mata, sebaliknya perlu membentuk jati diri, sahsiah dan nilai moral dalam kalangan pelatih.

“Bakat serta inovasi anak Sabah perlu diketengahkan supaya mereka mampu menguasai teknologi AI bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.

“Kepakaran dalam AI perlu dimanfaatkan seiring peredaran masa, namun nilai kemanusiaan dan moral tidak boleh diketepikan tanpa kawalan undang-undang yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, AI kini memberi pengaruh besar di peringkat global sejajar dengan Revolusi Industri, termasuk dalam tadbir urus dan perancangan pembangunan sesebuah negara.

“Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digesa membangunkan dan menyelaras penerapan teknologi berasaskan AI secara menyeluruh merentasi universiti serta institusi pengajian tinggi awam.

“Golongan muda, khususnya di Sabah, juga digesa menceburi bidang kecerdasan AI bagi menampung kekurangan pakar dan jurutera dalam teknologi pintar ini,” katanya.

–TAMAT

Exit mobile version