Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Aksyah bidas dakwaan pembangkang terhadap rundingan 40 peratus Sabah

TEGAS: Aksyah menegaskan kerajaan GRS memperjuangkan hak Sabah melalui pendekatan rundingan berfakta dan strategik.

KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga Nurulalsah Hassan Alban dan beberapa pemimpin pembangkang berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagai retorik politik yang tidak berpaksikan fakta serta realiti rundingan sebenar antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, tindakan Nurulalsah yang juga dikenali sebagai Lisa melabel bayaran interim RM600 juta dan tuntutan rasmi RM3.019 bilion sebagai “sedekah” atau “angka rawak” menunjukkan kegagalan memahami asas penting dalam proses tuntutan hasil Sabah.

“Semua pihak memang mahu hak Sabah diperjuangkan, namun tuntutan itu perlu dibuat secara berfakta dan berlandaskan undang-undang, bukan sekadar memainkan sentimen politik untuk menarik perhatian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Menurutnya, RM600 juta yang diumumkan sebelum ini merupakan bayaran interim sementara formula tetap pemberian khas dimuktamadkan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, tuntutan RM3.019 bilion pula adalah tuntutan rasmi kerajaan GRS bagi hasil bersih tahun 2025 berdasarkan data kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang berjumlah RM7.547 bilion.

“Angka itu bukan angka ihsan atau angka rawak, tetapi tuntutan rasmi berdasarkan data hasil sebenar,” katanya.

Aksyah berkata, kerajaan negeri melalui surat bertarikh 10 April 2026 turut mendesak Putrajaya melunaskan bayaran tuntutan bagi tempoh 2022 hingga 2025.

Beliau menegaskan bahawa melabel tuntutan berdasarkan data rasmi sebagai “sedekah” adalah tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung menghina integriti penjawat awam serta pasukan teknikal yang menyediakan pengiraan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pendekatan pentadbiran Parti Warisan ketika mentadbir Sabah pada 2019 yang hanya menerima RM53.4 juta sebagai bayaran khas.

ADUN Sungai Sibuga daripada Parti Warisan, Lisa Hassan Alban.

“Jika RM600 juta yang diterima secara interim dan tuntutan RM3.019 bilion hari ini dianggap sedekah, bagaimana pula dengan RM53.4 juta yang diterima dahulu?” katanya.

Beliau berkata, kerajaan GRS kini memperjuangkan tuntutan berbilion ringgit melalui rundingan rasmi kerajaan dengan kerajaan (G2G), namun masih dituduh tunduk kepada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pendekatan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor adalah lebih tenang, strategik dan berkesan dalam memperjuangkan hak Sabah.

“Hajiji tidak perlu menjerit di luar, tetapi membawa fakta dan data ke meja rundingan sehingga berjaya memperoleh bayaran interim RM600 juta,” katanya.

Aksyah turut menjelaskan bahawa isu pewartaan tuntutan 40 peratus perlu difahami dalam konteks perundangan kerana pewartaan merupakan dokumen sah yang mengikat kedua-dua pihak.

“Tanpa pewartaan, ia hanya tinggal sebagai janji di atas kertas. Sebab itu kerajaan negeri mahu jaminan undang-undang yang jelas dan sah,” katanya.

Senator Datuk Anna Bell Perian

Beliau turut menyokong pandangan Senator Datuk Anna Bell Perian bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan platform paling sesuai untuk membahaskan isu teknikal tuntutan 40 peratus ketika rundingan masih berlangsung.

Katanya, keputusan Speaker DUN menolak usul berkaitan perkara itu dibuat bagi menjaga integriti rundingan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Membawa isu teknikal yang sensitif ke dalam perbahasan terbuka hanya akan mendedahkan strategi rundingan Sabah kepada pihak satu lagi,” katanya.

Menurutnya, rakyat Sabah hari ini mahukan hasil dan penyelesaian sebenar, bukannya retorik politik yang tidak membawa manfaat kepada negeri.

Exit mobile version