Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Agenda SMJ: KPLB fokus tingkat taraf hidup rakyat luar bandar

RUBIN (kelima dari kiri) bersama Jamawi (keempat dari kiri) dan pemimpin-pemimpin masyarakat memotong kek sambutan Krismas.

KEMABONG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah komited mempergiat usaha membasmi kemiskinan secara lebih proaktif dan berfokus, selaras dengan hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menterinya, Datuk Rubin Balang, berkata inisiatif membasmi kemiskinan terutama di kawasan luar bandar dan pesisir pantai bukan sekadar bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, malah mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri agar setara dengan negeri lain.

“Kami akan membawa satu kertas cadangan ke mesyuarat Kabinet mengenai hala tuju serta pendekatan yang lebih menyeluruh untuk membangunkan rakyat luar bandar dan pesisir pantai. Matlamatnya bukan sahaja untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan, tetapi juga memastikan ekonomi negeri turut meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2026 Peringkat Daerah Kecil Kemabong di Dewan Sri Ontoros, di sini pada Sabtu.

Rubin berkata, selain meneruskan penyampaian pelbagai bentuk bantuan yang sedia ada, KPLB Sabah juga akan memperkukuh kerjasama dengan kementerian lain bagi memperkasakan ekonomi rakyat termasuk melalui sektor pertanian dan keusahawanan.

Mengulas suasana pasca Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 baru-baru ini, Rubin berharap rakyat pelbagai kaum dan agama terus memanfaatkan sambutan Krismas serta kedatangan tahun baharu sebagai wadah mempererat perpaduan.

“Walaupun kita mungkin berbeza sokongan politik sebelum ini, inilah masanya untuk kembali bertaut, memupuk keharmonian serta memperkukuh perpaduan. Saya menyeru rakyat khususnya di DUN Kemabong agar bersatu demi masa depan bersama,” katanya.

Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong menegaskan, pihaknya akan terus komited membantu rakyat tanpa mengira latar belakang politik, agama atau kaum.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 3,000 tetamu dan turut disertai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; pemimpin masyarakat setempat serta wakil gereja.



–TAMAT

Exit mobile version