TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan (Warisan) tidak akan kehilangan kerusi sekiranya menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, selagi mereka tidak meninggalkan parti atau menyertai parti lain, kata pemerhati politik Sabah, Khairul Anwar Junus.
Beliau berkata, spekulasi mengenai kemungkinan sebahagian daripada 25 ADUN Warisan menyokong Hajiji bukan sesuatu yang mustahil, khususnya dalam konteks cabaran menyampaikan perkhidmatan dan pembangunan kepada rakyat sekiranya terus berada di blok pembangkang.
Menurutnya, undang-undang anti-lompat parti Sabah yang berkuat kuasa sejak 2023 tidak memperuntukkan kehilangan kerusi bagi ADUN yang sekadar menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri atau kerajaan negeri.
“Peruntukan undang-undang jelas menyatakan bahawa sokongan terhadap Ketua Menteri, sama ada melalui undi percaya atau sokongan terbuka, tidak dianggap sebagai lompat parti.
“Seorang ADUN hanya perlu mengosongkan kerusinya jika beliau secara sukarela keluar parti atau menyertai parti politik lain,” katanya lapor Utusan Borneo.
Khairul turut menjelaskan bahawa sekiranya seseorang ADUN Warisan dipecat oleh parti, kerusi itu masih kekal milik ADUN berkenaan selagi mereka tidak menyertai mana-mana parti politik lain.
Mengulas peranan ADUN Bebas, beliau berkata golongan itu mempunyai ruang luas untuk menentukan sokongan politik selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah pada 2023.
Katanya, pindaan berkenaan telah memansuhkan syarat lama bahawa Ketua Menteri mesti datang daripada parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak.
“Selepas pindaan ini, mana-mana ADUN boleh dilantik sebagai Ketua Menteri asalkan mendapat sokongan majoriti. Ini menjadikan peranan ADUN Bebas lebih signifikan dalam menentukan hala tuju kerajaan negeri,” katanya.
Khairul menegaskan, tiada halangan undang-undang bagi ADUN Bebas untuk menyokong mana-mana pihak selagi mereka kekal sebagai wakil rakyat yang tidak menyertai parti politik secara rasmi.
Beliau berkata, perubahan undang-undang itu mencerminkan landskap politik Sabah yang semakin dinamik dan terbuka, namun menegaskan fakta perundangan perlu difahami dengan tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Kegagalan memahami peruntukan sebenar undang-undang hanya akan mengelirukan rakyat dan membuka ruang kepada dakyah politik,” katanya.
— TAMAT

