KOTA KINABALU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan politik serta kemajuan negeri.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, Robert yang juga mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, beliau telah bertemu dengan Hajiji di Sri Gaya bagi menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Pengerusi GRS itu.
“Hari ini saya berkesempatan bertemu dengan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Sri Gaya. Tujuan saya tidak lain adalah untuk menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan beliau yang sentiasa berusaha membawa kestabilan dan kemajuan untuk Sabah,” katanya.
Robert menyeru rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor agar terus memberikan sokongan padu kepada calon GRS yang akan diumumkan dalam masa terdekat, sambil menekankan pentingnya kesatuan dalam memastikan kesinambungan pembangunan negeri.
“Saya menyeru semua rakyat, khususnya di Bingkor, supaya terus bersama dan memberikan sokongan kepada calon GRS. Marilah kita bersatu hati demi kestabilan politik dan masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Bingkor atas sokongan dan kepercayaan yang berterusan terhadapnya selama ini.
“Terima kasih kepada rakyat Bingkor yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan kepercayaan. Bersama kita pastikan suara rakyat Bingkor terus kuat dan perjuangan untuk Sabah terus maju ke hadapan,” ujarnya.
Robert sebelum ini antara pemimpin kanan STAR yang memilih untuk kekal bersama GRS selepas parti tersebut menarik diri daripada gabungan berkenaan. Pendiriannya itu dilihat sebagai langkah konsisten menyokong usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji dalam memacu pembangunan serta memperkukuh kestabilan politik Sabah.
— TAMAT

