KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang mempergiat pelaksanaan pelbagai pelan pembangunan bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM100 bilion menjelang 2030, selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti sektor industri yang berpotensi dibangunkan, pelaburan yang ingin ditarik serta keperluan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, tumpuan utama kini adalah memastikan semua perancangan berkenaan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan dan memberikan hasil nyata.
Beliau berkata, antara faktor terpenting dalam menarik pelaburan dan memperkukuh pembangunan industri ialah penyediaan bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai serta pada kos berdaya saing.
“Apabila pelabur mempertimbangkan untuk membina kilang atau menjalankan operasi berskala besar di Sabah, mereka perlu mengetahui sama ada kita mampu menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, berapa kosnya serta bila bekalan itu dapat disediakan.
“Ini merupakan persoalan praktikal yang memerlukan jawapan jelas. Pelabur tidak boleh mengoperasikan kilang mereka hanya berdasarkan janji bekalan tenaga pada masa hadapan.
“Mereka perlu mengetahui apa yang benar-benar mampu kita sediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC), atau PACE, bersama EDGE Summit di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Turut hadir Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub.
Hajiji berkata, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Sabah, seiring usaha negeri memperluas pembangunan sumber tenaga boleh baharu.
Menurutnya, kerajaan perlu mengimbangi peningkatan permintaan tenaga dengan kemampuan kos serta keperluan memelihara kelestarian alam sekitar.
Katanya, keseimbangan itu menuntut keputusan yang teliti dan berpandangan jauh bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing sebagai destinasi pelaburan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata, Sabah mencatat kemajuan menggalakkan dalam memperkukuh penyertaan negeri dalam industri minyak dan gas, khususnya menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS pada Disember 2021.
Beliau berkata, perjanjian berkenaan membolehkan Sabah memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas negeri.
“Pelan Pembekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang yang dibentangkan kepada kerajaan negeri pada September lalu mengunjurkan bekalan gas Sabah berpotensi meningkat daripada kira-kira 700 juta kaki padu standard sehari kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari menjelang 2030.
“Cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah juga membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di wilayah berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kemajuan dalam perancangan perlu disusuli pelaksanaan projek mengikut jadual supaya manfaat yang disasarkan dapat direalisasikan.
“Perkembangan ini amat menggalakkan. Apa yang penting sekarang ialah memastikan projek-projek berkenaan dilaksanakan seperti dirancang dan manfaat yang dijangkakan dapat direalisasikan,” katanya.
Sementara itu, Hajiji turut memuji prestasi kewangan SEC serta usaha syarikat berkenaan memperluas operasinya menerusi Agenda Transformasi Tenaga Progresif (PETA 2030).
Katanya, sejak penubuhannya pada 1981, SEC berkembang menjadi antara syarikat tenaga utama Sabah dengan peranan penting dalam pembekalan, pengangkutan dan pengagihan gas.
Beliau turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan negeri supaya mencontohi pendekatan SEC dalam memperkukuh keupayaan organisasi serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Bagaimanapun, Hajiji mengingatkan bahawa pencapaian baik sesebuah agensi atau GLC secara individu tidak semestinya menjamin kejayaan pembangunan negeri secara keseluruhan tanpa penyelarasan yang berkesan.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama rentas agensi perlu diperkukuh, terutama dalam memudah cara pelaksanaan pelaburan berskala besar yang melibatkan pelbagai bidang tanggungjawab.
“Sabah tidak boleh membiarkan agensi-agensinya terus bekerja secara berasingan sehingga menyebabkan pelabur terpaksa menunggu dan peluang pelaburan beralih ke tempat lain.
“Kita tidak mampu membiarkan perkara ini berlaku, terutama ketika Sabah bersaing dengan destinasi pelaburan lain,” katanya.
Beliau berharap agensi kerajaan negeri dan GLC terus meningkatkan perkongsian maklumat, mempercepat penyelesaian masalah serta mengutamakan kerjasama bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan projek. Mengenai persidangan berkenaan, Hajiji berharap idea dan pandangan yang dibincangkan dapat diterjemahkan kepada penambahbaikan operasi, kerjasama strategik baharu serta kaedah kerja yang lebih cekap dan berkesan.
