KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan 40 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor dengan kerajaan negeri menawarkan insentif RM10,000 kepada setiap atlet yang berjaya meraih pingat emas sebagai dorongan untuk mencipta rekod baharu buat kontinjen negeri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai hasil persiapan rapi yang dimulakan sejurus selepas Sukan Sabah (SAGA) tahun lalu.
“Kita telah mempersiapkan pasukan Sabah sejurus selepas SAGA pada Oktober tahun lalu. Atlet-atlet berpotensi dikenal pasti, dilatih dan dihantar bertanding di dalam serta luar negara. Setelah membuat perbandingan dengan pencapaian lalu dan prestasi negeri-negeri lain, kami percaya sasaran 40 emas ini dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir persiapan Kontinjen Sabah bagi menghadapi SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), pada Selasa.
Menurut Nizam, Sabah akan menghantar kontinjen seramai 943 anggota, termasuk 744 atlet, bagi menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan, dengan hanya tidak mengambil bahagian dalam acara Kabaddi kerana negeri itu belum mempunyai program pembangunan bagi sukan berkenaan.
Beliau berkata, kontinjen itu turut disertai 51 pengurus pasukan dan 148 jurulatih, manakala bagi Para SUKMA, Sabah akan menghantar 271 pegawai dan atlet untuk bertanding dalam kesemua 10 acara yang dipertandingkan.
Katanya, Sabah turut meletakkan sasaran 66 pingat emas pada Para SUKMA dalam usaha merampas semula gelaran juara keseluruhan selepas muncul naib juara pada edisi Sarawak 2024.
Nizam berkata, keyakinan terhadap sasaran berkenaan disokong oleh peningkatan prestasi atlet muda dan atlet berpengalaman, selain penggunaan sains perubatan sukan serta bimbingan mentor berpengalaman.
“Kita mempunyai atlet muda dan atlet yang pernah menyertai SUKMA sebelum ini yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dengan bantuan sains perubatan sukan dan bimbingan mentor berpengalaman seperti Datuk Michelle Koh, kita yakin matlamat 40 emas SUKMA dan 66 emas Para SUKMA akan menjadi realiti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sabah menerusi KBSK mengekalkan kadar insentif kepada pemenang pingat, iaitu RM10,000 bagi emas, RM3,000 untuk perak dan RM2,000 bagi gangsa.
“Kita tidak mahu sasaran RM3,000 atau RM2,000, sebaliknya kita mahu semua atlet memburu RM10,000 dengan membawa pulang pingat emas,” katanya.
SUKMA Ke-22 akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 11 September.
