SMJ 2.0 pacu agenda kemajuan Sabah tahun 2026

KOTA KINABALU: Tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk Sabah terus melangkah ke hadapan dengan keazaman lebih kukuh serta semangat kebersamaan yang utuh, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang bersifat holistik, inklusif dan komprehensif bagi memastikan kemakmuran berterusan serta masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing untuk negeri ini.

“Mengimbas kembali tahun 2025, ia merupakan tahun yang baik dengan asas pembangunan yang kukuh serta kemajuan konsisten hasil pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan landasan ini melalui SMJ 2.0 dengan komitmen lebih teguh terhadap perpaduan, kemakmuran serta pembangunan inklusif supaya kemajuan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat baharu yang diberikan untuk terus memimpin negeri ini.

“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan rakyat. Mandat ini adalah amanah besar yang akan dipikul dengan penuh akauntabiliti dan rasa tanggungjawab,” katanya.

Menurut beliau, dengan mandat tersebut, Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh tadbir urus, memastikan kestabilan politik berterusan serta memacu pembangunan komprehensif demi kesejahteraan rakyat.

“Sepanjang lima tahun lalu, usaha berterusan untuk mewujudkan kestabilan dan persekitaran yang kondusif sudah membuahkan hasil yang ketara serta memberi manfaat besar kepada negeri,” katanya.

Mengakhiri perutusannya, Hajiji mendoakan agar seluruh rakyat Sabah sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan.

“Bersama rakan-rakan Kabinet Negeri, saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Sabah,” katanya.


–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles