SMJ 2.0 pemacu arah baharu pembangunan Sabah : Nizam

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memberi tumpuan kepada agenda kestabilan politik, perpaduan rakyat serta hala tuju pembangunan jangka panjang negeri menjelang Tahun Baharu 2026.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata fokus itu selaras dengan mandat jelas yang diberikan rakyat kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

Katanya, kemenangan GRS membuktikan rakyat memilih kesinambungan dasar, kematangan politik dan kepimpinan yang stabil demi menjamin masa depan Sabah.

“Amanah diberikan kepada GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kerajaan yang stabil, berwibawa serta mempunyai hala tuju jelas berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Tahun Baharu 2026, hari ini.

Menurutnya, Tahun 2026 turut menandakan permulaan fasa penting pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026–2030) yang berteraskan tiga komponen utama iaitu pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan serta pengukuhan infrastruktur mampan dan berteraskan kelestarian hijau.

Dalam konteks kementeriannya, Nizam berkata usaha akan dipergiat untuk membudayakan golongan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi melalui pengukuhan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta kesukarelawanan.

“Belia Sabah perlu diperkasa bukan hanya sebagai penerima peluang, tetapi sebagai pencipta nilai serta penyumbang aktif kepada pembangunan negeri,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan turut komited memperkukuh kedudukan Sabah sebagai Negeri Sukan, meliputi pembangunan sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya dan sukan massa bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa sektor ekonomi kreatif akan terus diperkasa melalui peningkatan kemahiran, inovasi, pemasaran dan keupayaan pengurusan, khususnya dalam bidang kreatif dan digital, bagi menjadikannya pemacu ekonomi baharu negeri.

Mengulas isu hak negeri, Nizam menegaskan kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berhemah dan berprinsip.

“Hubungan baik antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan berteraskan kerangka Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat serta usaha membina negara yang lebih inklusif, adil dan seimbang,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri.

“Kejayaan membina Sabah yang lebih maju dan makmur adalah tanggungjawab bersama. Semoga Tahun 2026 membawa sinar baharu, kestabilan berpanjangan serta kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan seluruh rakyatnya,” katanya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles