Masidi nafi tuduhan rasuah, anggap dakwaan cabar kemenangan Karanaan tidak berasas

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku rasuah dan pelanggaran peraturan pilihan raya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, susulan tindakan semakan kehakiman difailkan seorang calon bebas yang mencabar kemenangan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan.

Ini selepas laporan menyebut Naomi @ Neomi Francis memfailkan permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, untuk membatalkan pengisytiharan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan kemenangan Masidi, selain memohon agar pilihan raya baharu diadakan.

Masidi menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas, tidak bersandarkan fakta serta dilihat cuba melemahkan proses demokrasi dan keyakinan rakyat.

“Saya menafikan secara tegas sebarang dakwaan amalan rasuah atau pelanggaran peraturan pilihan raya semasa PRN Sabah lalu. Kempen GRS dilaksanakan mengikut undang-undang, dengan penuh ketelusan dan integriti,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Namun, Masidi menghormati proses undang-undang dan menegaskan individu terbabit berhak mengambil tindakan melalui saluran mahkamah.

“Sebagai sebuah negara demokrasi, beliau bebas membawa kes ini ke mahkamah. Kami kekal komited mempertahankan nilai demokrasi dan memastikan suara rakyat dihormati,” katanya.

Menurut laporan Malaysiakini, kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan pada 4 Februari tahun depan di hadapan Hakim Alexander Siew, dengan Masidi serta SPR dinamakan sebagai defendan.

Naomi mendakwa berlaku ‘amalan rasuah berleluasa’ termasuk pembelian undi, pemberian wang tunai antara RM100 hingga RM200 kepada pengundi di beberapa lokasi, selain dakwaan ketidakaturan proses pengundian termasuk isu akses ejen mengundi serta penyediaan Borang 14.

Pada PRN Sabah lalu, Masidi menang besar di Karanaan dengan majoriti 5,361 undi dalam pertandingan tujuh penjuru, manakala Naomi memperoleh 115 undi.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles