KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Roger Chin, menyuarakan rasa kesal terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom, berhubung isu pengagihan kerusi Parlimen, sambil mengingatkan bahawa pembentukan Malaysia tidak boleh dilihat semata-mata melalui kaca mata jumlah populasi.
Beliau berkata, adalah membimbangkan apabila seorang pegawai kanan SPR membentuk naratif seolah-olah Sabah dan Sarawak “diwakili secara berlebihan”, sedangkan penyertaan kedua-dua wilayah ke dalam Persekutuan Malaysia berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menetapkan kedudukan rakan kongsi setara, perlindungan serta imbangan kuasa.
“Perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen bukan sekadar soal angka pengundi, tetapi soal memastikan suara serta pengaruh kedua-dua negeri terus terjamin. Inilah sebabnya gagasan kira-kira satu pertiga perwakilan menjadi sangat signifikan walaupun tidak disebut secara jelas dalam Perlembagaan hari ini,” katanya.
Roger menegaskan, menganggap isu perwakilan hanya berdasarkan populasi berisiko menggambarkan Malaysia sebagai negara unitari, sedangkan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan berdasarkan persetujuan khas yang perlu terus dihormati.
Beliau turut menekankan bahawa MA63 bukan sekadar rekod sejarah, sebaliknya masih merupakan urusan Perlembagaan yang perlu dilaksanakan sepenuhnya demi keadilan kepada rakyat kedua-dua negeri.

Sebelum ini, Azmi dilaporkan berkata bahawa purata pengundi bagi setiap kerusi di Sabah dan Sarawak jauh lebih rendah berbanding negeri berpenduduk padat seperti Selangor. Namun, beliau turut mengakui ketidakseimbangan itu berperlembagaan dan perlu mengambil kira faktor geografi, keluasan kawasan serta kepadatan penduduk. Kedua-dua Sabah dan Sarawak sebelum ini menuntut agar semangat asal pembentukan Malaysia dikembalikan, termasuk aspek agihan kerusi Parlimen yang lebih adil sebagai jaminan hak dan kedudukan wilayah Borneo dalam Persekutuan.
–TAMAT
