KENINGAU: Seramai 165 bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Bahagian Tulid hari ini secara rasmi menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam satu majlis penyerahan borang keahlian yang disempurnakan oleh Pengerusi GRS DUN Tulid, Datuk Flovia Ng.
Majlis berkenaan bukan sahaja melambangkan pertambahan kekuatan jentera GRS di kawasan itu, tetapi juga memperkukuh komitmen rakyat Tulid terhadap agenda pembangunan setempat.
Flovia berkata perpaduan serta semangat perjuangan bersama amat penting bagi memastikan kemajuan dinikmati secara menyeluruh merangkumi pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“Kita berhimpun hari ini bukan sekadar untuk mendengar ucapan, tetapi untuk memperbaharui keyakinan bahawa masa depan DUN Tulid berada di tangan kita.
Kita mahu melihat Tulid terus maju dan rakyatnya menikmati kemakmuran dalam semua aspek kehidupan,” katanya.
Mengulas persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 pada 29 November, Flovia menegaskan jentera parti di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu memanfaatkan sepenuhnya tempoh berkempen 14 hari.
“Kekuatan kita berpaksikan kerja berpasukan dan kesiapsiagaan akar umbi. Saya yakin kerusi N.44 Tulid mampu dipertahankan dengan sokongan semua komponen GRS,” jelasnya.
Flovia menekankan bahawa kestabilan politik menjadi asas kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Pengalaman lalu menunjukkan ketidakstabilan politik menjejaskan pelaburan, pentadbiran dan perpaduan rakyat. Sebab itu kestabilan adalah tunjang pentadbiran GRS,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan Pelan Pembangunan Tulid, termasuk menaik taraf jalan kampung dan kebun, memperluas bekalan air bersih dan elektrik, serta meningkatkan capaian internet luar bandar.
Flovia menegaskan keputusan kekal bersama GRS dibuat atas dasar tanggungjawab kepada rakyat, bukan kepentingan peribadi.
“Saya tidak berpaling tadah. Saya berkorban demi memastikan pembangunan di Tulid tidak tergendala. Kami bukan pengkhianat, kami pejuang kestabilan,” katanya, merujuk pendirian bersama beberapa pemimpin termasuk Datuk Ellron (Sook), Datuk Annuar Ayub (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
Flovia turut menyeru semua jentera GRS agar mengekalkan disiplin dan bekerja secara kolektif.
“Kemenangan tidak datang dengan mudah. Ia memerlukan kerja keras, kesatuan dan keikhlasan perjuangan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa prinsip Kongsi Kuasa dalam kalangan komponen GRS di Tulid akan diteruskan selepas kemenangan kelak.
“Dengan kesatuan dan semangat perjuangan, saya yakin GRS akan terus membawa Tulid maju seiring visi Sabah Maju Jaya,” katanya.
— TAMAT

